Negara Indonesia, Padang adalah salah satu tempat yang sangat menarik untuk dikunjungi. Selain merupakan tarikan pelancongan, Padang, Indonesia juga pasti memberikan kelainan terhadap percutian anda dan keluarga. Apabila sebut sahaja tentang Padang, pasti terus terlakar di bayangan anda tentang budaya minangkabaunya dan juga gunung berapi.

tempat menarik di padang indonesia

Imej via [Melancong]

Namun sebenarnya Padang juga sangat kaya dengan panorama dan alam semulajadinya yang indah membuatkan sesiapa sahaja bakal jatuh cinta dengan Padang, Indonesia ini. Mari kita ikuti beberapa tempat menarik di Padang yang mungkin anda tidak pernah tahu.

 

1.  Danau Singkarak

tempat menarik di padang indonesia

Imej via [tripadvisor]

Danau Singkarak adalah tasik yang terbesar di Sumatera Barat dan yang kedua terbesar di pulau Sumatera selepas Danau Toba. Tempat menarik di Padang Indonesia ini terletak di dua daerah iaitu Solok dan Tanah Datar.

Perjalanan mengambil sekitar 1 hingga ke 2 jam perjalanan dari bandar Padang ke Danau Singkarak  ini. Danau Singkarak ini juga mempunyai tasik yang sangat cantik dan indah. Jika musim durian, pengunjung dapat menikmati buah durian sepuas-puasnya di samping harga duriannya yang sangat murah dan sedap.

Danau Singkarak ini memiliki lebih kurang 9 puncak yang menjadi tarikan utama demi menikmati panorama yang lebih indah. Setiap puncak ini sangat sesuai untuk melihat matahari terbenam dan juga bergambar sebagai kenang-kenangan.

 

2.  Kilang Kopi Kiniko

tempat menarik di padang indonesia

Imej via [hamdanhamid]

Orang Padang Indonesia juga sangat sukakan kopi. Tempat menarik di Padang, Indonesia ini memproses biji-biji kopi secara tradisional sehingga menjadi serbuk yang sedia digunakan.  Kesemua peringkat untuk memproses kopi ini adalah secara manual dan ada juga menggunakan bantuan jentera tetapi tersangatlah minimum penggunaannya.

Kilang Kopi Kiniko ini bukan sahaja terkenal dan popular dalam kalangan penduduk Padang, malah para pelancong juga. Ini adalah tempat tumpuan pelancongan kerana memiliki kopi yang pahit dan benar-benar original.

Terdapat kopi najis kelawar namun mungkin tidak mampu ditelan oleh tekak kerana sudah tahu dari mana asalnya namun rata-rata penduduk tempatan mengatakan kopi dari najis haiwan ini sangat enak rasanya.

 

3.  Rumah Sulam Hajah Rosma

tempat menarik di padang indonesia

Imej via [Melancong]

Terdapat pelbagai jenis sulaman menarik boleh anda lihat di sini. Selain dapat membeli kain sulaman indonesia yang cantik, anda juga dapat melihat sendiri proses pembuatannya. Cara-cara membuat sulaman yang ditunjukkan di sini yang menjadi minat dan tumpuan orang ramai untuk berkunjung.

Kain sulaman yang dihasilkan rata-ratanya mengambil masa 2 hingga ke 4 bulan untuk disiapkan maka tidak hairanlah harganya agak mahal kerana proses menyiapkannnya juga terlihat sulit dan memakan masa.  Namun apabila ia telah siap, terlihat sangat cantik menjadi satu busana yang indah untuk dipakai.

 

4.  Kedai Sanjai Ummi Aufa Hakim

tempat menarik di padang, indonesia

Imej via [acikayda]

Tahukah anda, sanjai berlado adalah antara makanan yang sangat popular di Padang, Indonesia. Apa itu sanjai? Tidak pernah dengar? Sanjai ini adalah sejenis kerepek ubi kayu yang bersira.

Kalau orang melayu biasanya kita panggil ubi pedas. Ianya lebih kurang tetapi rasanya sedikit berbeza daripada yang terdapat di Malaysia. Jangan lupa untuk tapau dan beli lebih jika anda ke sini.

Selain boleh dijadikan sebagai cenderamata untuk orang tersayang di Malaysia, boleh juga dijadikan sebagai kudapan sambil menonton televisyen apabila anda sudah pulang ke Malaysia nanti.

 

5.  Kedai Makan Lamun Ombak

tempat menarik di padang indonesia

Imej via [mapio]

Jika ingin menikmati rasa asli dan original nasi Padang ,maka anda wajib datang ke sini. Sampai sahaja anda ke Kedai Makan Lamun Ombak ini, jangan terkejut apabila anda baru sahaja duduk, pelbagi lauk pauk akan terus dihidangkan di meja anda oleh pekerja restoran di sini. 

Jangan risau kerana anda tidak perlu bayar untuk kesemua lauk yang dihidangkan. Hanya perlu bayar untuk lauk yang anda ambil dan makan sahaja. Walaupun anda hanya ambil sesudu ianya juga tetap dikira. Untuk mudah anda faham, jika dah sentuh lauk itu memang wajib bayar maka buat keputusan muktamad sebelum menceduknya.

Untuk pengetahuan anda, Nasi Padangdan dan kesemua lauk pauknya di sini memang sangat sedap. Jika anda ke Padang, jangan lepaskan peluang menikmati Nasi Padang, kalau tidak pasti rugi!

 

6.  Minangkabau Village

tempat menarik di padang indonesia

Imej via [Jelajah Sumbar]

Siapa yang tidak tahu bahawa budaya asal orang Padang adalah Minangkabau maka percutian anda ke Padang akan jadi tidak lengkap jika anda tidak berkunjung ke Minangkabau Village ini.

Terdapat pelbagai rekabentuk rumah Minangkabau yang boleh terlihat di tempat menarik di Padang Indonesia ini.  Usianya mencecah ratusan tahun dan dijaga dengan baik sekali.

Anda juga boleh bergambar bersama busana minangkabau yang terdapat di sini namun ianya haruslah disewa dahulu, bukan percuma!  Tetapi jangan risau kerana sewa busana minangkabau di sini tidak mahal, hanya sekitar RM10 sahaja.

 

7.  Danau Maninjau

tempat menarik di padang indonesia

Imej via [InfoFotografi]

Ramai pelancong terutamanya dari Malaysia gemar datang ke sini kerana suasana pergunungan dan kebersihan air di Danau Maninjau ini amat indah. Danau ini dikatakan terbentuk akibat letusan gunung berapi suatu masa dahulu dari sebuah gunung berapi yang bernama Gunung Sitinjau.

Mengikut cerita legenda masyarakat setempat juga, danau ini terbentuk akibat sumpahan Bujang Sembilan yang kini menjadi sembilan ekor ikan yang berenang-renang di danau itu sehingga kini.

Jika anda ke sini, sambil-sambil menikmati keindahan alam semulajadi, anda juga boleh minum kopi dan merasai keenakkan apam labu yang sinonim dengan Danau Maninjau ini di samping menjadi makanan ikan di sini.

 

8.  Air Terjun Anai Lembah Mancur

tempat menarik di padang indonesia

Imej via [tipsjalan]

Air Terjun ini benar-benar terletak di tepi jalan, anda tidak perlu susah-susah mencarinya. Dikatakan tempat menarik di Padang Indonesia ini adalah salah satu destinasi wajib pelancongan sekiranya anda berkunjung ke Padang.

Air terjunnya yang sangat cantik dan tinggi menjadi perbualan hangat penduduk setempat dan juga para pengunjung asing. Bayaran masuknya tersangatlah murah iaitu sekitar 60 sen sahaja jika ditukar ke mata wang Malaysia.

 

9.  Pasar Aur Kuning

tempat menarik di padang indonesia

Imej via [klikpositif]

Pasar ini sangat sesuai buat mereka yang suka membeli-belah kerana terdapat pelbagai barangan yang boleh dicari dan di borong di sini seperti perhiasan rumah, kaftan, tudung, blouse dan pelbagai lagi. Malah para peniaga di Bandung juga mengambil stok barangan jualan di sini kerana harganya yang jauh lebih murah.

 

10. Terowong Jepun

tempat menarik di padang indonesia

Imej via [suaradungun]

Terowong Jepun yang merupakan tempat menarik di Padang Indonesia ini dikenali sebagai Lubang Jepun. Terowong ini telah dibina sekitar tahun 1942 oleh tentera Jepun dan panjang terowong ini adalah kira-kira 6km dengan kedalamannya 64 meter.

Terdapat banyak jalan masuk untuk ke terowong ini selain mempunyai bilik yang tersangat banyak yang digunakan untuk penyimpanan makanan, senjata dan juga digunakan sebagai pejabat. Untuk tambahan pengetahuan anda, lubang jepun ini telah dibina oleh buruh binaan yang khasnya dikerah dari tiga tempat iaitu Sulawesi, Jawa dan Kalimantan.

 

11. Kelok 44

tempat menarik di padang indonesia

Imej via [ twitter]

Perjalanan untuk tiba ke Kelok 44 ini seiras perjalanannya ke Cameron Highlands yang mana jalannya curam dan berlereng. Suasana tempat menarik di Padang Indonesia ini amat sejuk dan menyegarkan.

Anda juga akan dapat melihat sawah padi dan gunung berapi yang masih aktif di sini. Aktiviti di Kelok 44 ini banyak tertumpu kepada melihat pemandangannya yang cantik dan membeli cenderahati yang berasaskan bunga cengkih dan kayu manis.

12. Rumah Pak Hamka

tempat menarik di padang indonesia

Imej via [1001perjalanan]

Rumah Pak Hamka ini juga dikenali sebagai Muzim Kelahiran Buya Hamka.  Siapa yang masih ingat akan nama Hamka? Sepanjang hayat, Allahyarham Hamka ini tidak berhenti berkarya sehingga menghasilkan beratus-ratus buku, majalah, esei dan artikel.

Hamka adalah seorang penulis terkenal dengan karyanya iaitu Tenggelamnya Kapal Van Der Jick. Tidak ramai yang mengetahui bahawa penulis hebat ini sebenarnya berasal dari Padang, Indonesia. Rumah Pak Hamka ini terletaknya di hujung jalan Kelok.

Jika anda sukakan elemen sejarah dan ingin mengetahui lebih lanjut tentang Hamka, datanglah berkunjung ke Rumah Pak Hamka ini. Pelbagai latar belakang Hamka dapat dipelajari dan diketahui di sini.

 

13.  Batu Malin Kundang

tempat menarik di padang indonesia

Imej via [Merdeka]

Jika di Malaysia, kisah Si Tanggang yang derhaka kepada ibunya sangat popular. Kisah Malin Kundang adalah serupa seperti kisah Si Tanggang namun ianya dalam versi Padang, Indonesia.

Di tempat menarik di Padang Indonesia ini, anda akan dapat melihat batuan yang terbentuk seperti tong kayu, sauh kapal dan sesusuk tubuh manusia yang sedang melutut memohon maaf daripada ibunya yang dipercayai adalah Malin Kundang. Batu Malin Kundang ini terletak di daerah Pantai Air Manis, Kelurahan Aie Mani, Kecamatan Padang Selatan, Padang.

Selain hanya melihat batu Malin Kundang di sini, anda juga boleh mandi-manda dan makan di warung-warung sepanjang pantai di samping membeli pelbagai cenderamata yang ada dijual di sini.

 

14.  Istana Raja Pagar Ruyung

tempat menarik di padang indonesia

Imej via [abouturban]

Istana Raja Pagar Ruyung yang asal sebenarnya telah hangus di jilat api berpunca dari litar pintas namun kemudiannya tempat menarik di Padang Indonesia ini telah dibina semula. Rekabentuk dan seni binanya sangat unik dengan ukirannya yang sangat halus buatannya.

Dari istana inilah datangnya ilham rekaan bumbung minangkabau yang banyak terdapat di Negeri Sembilan.  Jika anda berkesempatan, datanglah berkunjung ke sini kerana ianya seolah-olah kembali ke zaman silam.

Istana ini mempunyai 3 tingkat iaitu di tingkat pertamanya adalah singgahsana sang puteri yang telah berkahwin, tingkat keduanya adalah buat sang puteri yang masih bujang manakala tingkat terakhir adalah tempat penyimpanan barangan penting.

 

15.  Jam Gadang

tempat menarik di padang indonesia

Imej via [hariansinggalang]

Nama tempat menarik di Padang Indonesia iaitu Jam Gadang ini diambil daripada perkataan Minangkabau yang bermaksud jam besar. Jam besar telah dibina sekitar tahun 1926 oleh penjajah Belanda.  Jam Gadang ini terkenal seolah-olah Big Ben di London dan terletak di tengah-tengah Bandar Bukit Tinggi.  

Destinasi ini merupakan tempat yang paling wajib untuk dikunjungi dan menjadi salah satu destinasi kegemaran oleh para pelancong dan juga penduduk tempatan.  Jika anda bercuti ke Padang, jangan lupa singgah ke sini untuk bergambar sebagai kenang-kenangan kerana Jam Gadang ini adalah simbol Bukit Tinggi. Di sini juga anda akan berpeluang untuk menunggang kuda dan bersiar-siar di sekitar Bandar Bukit Tinggi ini.

Imej via [melancong]

Kesimpulannya, Padang Indonesia terdapat banyak tempat menarik untuk dikunjungi. Namun senarai di atas merupakan tempat yang wajib anda kunjungi, jika tidak, pasti akan rugi. Semoga dengan perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu anda merancang percutian anda ke Indonesia. Jom lihat tempat honeymoon di Malaysia dan tempat makan best di Kuala Terengganu pula.

 

Rujukan:

  1. bidadari
  2. melancong
  3. idntimes

Penulis: Zushazrina Zulkifli

Merupakan penulis bebas sepenuh masa yang suka berkongsi tips, ilmu dan penulisan di Malaysia.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.