Tiada Niat Sebar Kristian Menerusi Lagu ‘Harapan Bangsa’ – Jaclyn Victor | Nampaknya kontroversi lagu Harapan Bangsa, nyanyian Jaclyn Victor masih belum reda. Terbaru JAKIM telah membuat siasatan berkenaan lagu tersebut. Pihaknya berkata siasatan terperinci akan dilakukan untuk memastikan samada lagu berkenaan benar-benar ‘bermasalah’ atau tidak. Bagi Jaclyn Victor pula, dia tegaskan bahawa tidak salah untuk menyanyikan lagu berkenaan kerana menganggap lagu Harapan Bangsa yang dinyanyikannya adalah salah satu bentuk sumbangan dan tanggungjawab untuk agamanya iaitu Kristian.

Jaclyn atau nama sebenarnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 33, berkata, dia menyanyikan lagu itu dalam Bahasa Malaysia bukan bertujuan untuk menyebarkan agama berkenaan tetapi dikhususkan kepada penganut Kristian di Sabah dan Sarawak. Tambah penyanyi kelahiran Kuala Lumpur ini, dia tidak melakukan sebarang kesalahan kerana lagu berkenaan bukan dihasilkan untuk tujuan komersial.

“Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang penganut Kristian dengan menyanyikan lagu berkenaan kepada orang Kristian di Sabah dan Sarawak. Kebanyakan mereka di dua negeri itu lebih faham Bahasa Malaysia. Dan sebagai sebuah negara yang mengamalkan kebebasan beragama, isu tersebut tidak seharusnya dipertikaikan,” katanya yang dipetik dari portal mStar Online.

Bagi Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Norman Abdul Halim menyifatkan perbuatan Jac bukanlah satu kesalahan untuk dia menyanyikan lagu agama yang dianutinya walaupun dalam apa juga bahasa sekalipun. Beliau berpendapat perkara ini tidak perlu diperbesarkan kerana risaukan perpecahan kaum dinegara kita.

“Saya rasa perkara ini tidak perlu diperbesarkan dan andai kata memang benar masyarakat beragama lain terasa, janganlah berfikiran terlalu sensitif. Jika ia mampu memesongkan akidah penganut agama lain kerana nyanyiannya dalam Bahasa Melayu, keadaan tetap akan sama jika lagu tersebut dinyanyikan dalam Bahasa Inggeris kerana masyarakat negara ini tetap faham akan maksudnya.

“Mungkin pihak Perkasa ada perjuangannya yang tersendiri, cuma saya harap isu ini tidak perlu diperbesarkan kerana di Malaysia, kita mempunyai pelbagai kaum serta agama. Semua pihak bebas untuk menunaikan tanggungjawab terhadap agama yang dianuti,” katanya selain berharap isu yang remeh seperti itu tidak perlu dikontroversikan kerana ia mampu memecah belah kaum di negara ini selain banyak lagi perkara lain yang boleh dibangkitkan.


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.