Van Jadi ‘Rumah’ Dua Beranak Hangus Terbakar | Tak sangka juga masih ramai yang hidup melarat di bumi bertuah kita ini. Dalam kita dilimpahi kenikmatan hidup, ada insan yang cukup-cukup makan sahaja. Dalam kita lena dibuai mimpi indah beralaskan tilam empuk, mereka bantal pun mungkin tidak ada. Tambahan kesusahan hidup bertemankan pula si anak kecil yang tidak tahu apa-apa.

Apa yang ammboi bebelkan ini berkaitan dengan kisah 2 beranak ini yang terlibat dengan kemalangan di Jalan Kampung Air Hitam Lendu, petang kelmarin. Menurut laporan Sinar Harian, dua beranak yang tinggal dalam van sejak tiga bulan lalu akibat kesempitan hidup berakhir apabila kenderaan yang menjadi ‘rumahnya’ selama ini hangus terbakar dalam kemalangan berkenaan.

van terbakar

Zubaidi Alias, 34 dan anak bongsunya, Siti Zulaikha, 5, menghadapi kehidupan sukar apabila isteri dan anak sulungnya menghilangkan diri disebabkan kesempitan hidup, sebelum dihalau keluar dari rumah sewa akibat gagal melunaskan tunggakan sewa. Bagi meneruskan hidup, Zubaidi tinggal dalam van jenis Nissan Vannette yang dipinjamkan dari saudaranya, dalam masa sama digunakan untuk mencari sesuap nasi dengan kerja-kerja ringan, seperti mengambil upah mengangkut bekalan kelapa.

Sekiranya tidak menumpang di rumah saudara mara, kedua beranak itu menjadikan van berkenaan sebagai tempat tidur waktu malam yang diparkir di mana-mana lokasi sesuai, dengan menumpang tandas awam di stesen minyak untuk mandi dan buang air.

Namun, dalam kejadian kira-kira 6.10 petang kelmarin, anak beranak itu terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan mengambil baki barangan di rumah sewa di Durian Tunggal yang ditinggalkan sebelum ini, untuk ditumpangkan ke rumah bapa angkatnya di Kampung Panchor.

Kejadian berlaku disebabkan mangsa terlalu letih. Van Zubaidi terbabas rempuh sebatang tiang jalan, terhumban dalam gaung lalu terbakar selepas berlaku kebocoran padan tangki minyak. Kemalangan menyebabkan kaki Zubaidi tersepit di celah pedal minyak.

Menurut sumber, anak mangsa pula terperosok bawah papan pemuka tempat duduk penumpang.

“Melihat anaknya meraung ketakutan, mangsa bertindak mencapai anaknya itu sambil merentap kaki kirinya yang tersepit. Ketika itu, mangsa terhidu bau hangit serta kepulan asap hitam dan api kecil keluar dari enjin kenderaan. Mangsa bertindak melompat keluar dari pintu pemandu. Beberapa saat selepas itu, mangsa dan anaknya berjaya keluar dan api mula menyambar bahagian hadapan van berkenaan sebelum berlaku letupan kuat di bahagian enjin,” katanya.

Sementara itu, Zubaidi berkata, sebaik saja dapat melepaskan diri, dia menahan sakit berusaha memanjat tebing gaung yang curam sambil mendukung anaknya itu, sebelum dibantu orang awam yang berhenti di tepi jalan.

“Saya sedih lihat van ini terbakar. Selama ini menjadi tempat saya bergantung mencari rezeki. Kini, semua musnah,” katanya. Bila dah sihat nanti, baru saya fikirkan macamana nak mulakan hidup baru supaya masa depan anak saya tak terjejas,” katanya sebak sambil mengesat air mata.

Dalam pada itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Eslizan Nurhan Amin berkata, dua jentera membabitkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah dan Masjid Tanah dikejarkan ke tempat kejadian dan mengambil masa kurang 10 minit untuk memadamkan kebakaran. Mangsa yang cedera dilaporkan stabil dan kini menumpang sementara di rumah saudaranya di Masjid Tanah.

p/s: Semoga mangsa mendapat bantuan dari pihak yang berkenaan…


Penulis: ammboi

Cuba Menjadikan AMMBOI DOT COM Sebagai Laman Blog Perkongsian Pelbagai Maklumat Untuk Tatapan Bersama. Sudi-Sudikanlah Follow Dan Like Page Rakan Ammboi Untuk Mengikuti Perkembangan Isu Semasa Yang Terkini Lagi Terbaik Dari AMMBOI DOT COM! [Info Mungkin Dipetik Dari Beberapa Sumber Yang Dinyatakan | Sebarang Masalah Hubungi : [email protected]]

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.